Selasa, 11 Mei 2010

Budaya Seni Silat Membangunkan Modal Insan Cemerlang



10 Januari 2010, Bangi - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PSSCM UKM) telah berjaya menganjurkan Seminar Budaya Seni Silat Membangunkan Modal Insan Cemerlang bertempat di Dewan DG43.101, Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM di sini.

Seminar sehari yang bertemakan 'Agama Dijunjung Budaya Dipertahankan' ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Kadderi Md Desa, Pengarah Perkembangan Pelajar UKM mewakili Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamad Bin Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, UKM.

Lebih 300 peserta dari institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Kelang menyertai seminar ini yang turut dihadiri oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah, AJK Pusat PSSCM dan cawangan-cawangan.

Di antara objektif program seminar ini adalah memberi kesedaran kepada peserta tentang pentingnya mempelajari dan memperjuangkan seni silat yang merupakan warisan bangsa Melayu. Di samping itu juga melalui seminar ini dapat membuka minda peserta bahawa aktiviti silat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan perpaduan masyarakat.

Seramai tiga orang pembentang kertas kerja membentangkan kertas kerja masing-masing dalam seminar ini yang didahului dengan Dr. Roziah Abdullah dari Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kertas kerja bertajuk 'Peranan Wanita Dalam Dunia Persilatan' diikuti oleh Prof. Madya Dr. Haji Abdul Majid Ismail, Pensyarah USM Pulau Pinang yang juga Yang DiPertua PSSCM Pulau Pinang dengan kertas kerja bertajuk 'Seni Silat Melahirkan Pemikir Dan Pemimpin Yang Cemerlang'.

Kertas kerja ketiga bertajuk 'Pemantapan Rohani Dan Jasmani Dalam Bidang Persilatan Dari Kaca Mata Islam' yang dibentangkan oleh Tuan Haji Ghazali Bin Ab Rahman, Pensyarah UUM merangkap Ahli Lembaga Pelajaran & Tatatertib PSSCM.

Ahad, 9 Mei 2010

Sambutan PLBC-9 Diluar Jangkaan


21 Feb 2010, Kuala Lumpur - Program tersebut dianjurkan bersama PSSCM UIAM Gombak dan Jabatan Penerangan PSSCM. Ia mendapat sambutan diluar jangkaan dengan kehadiran ahli melebihi 600 orang. Program yang berlangsung di Female Sport Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Peserta terdiri dari AJK Pusat dan Ahli LPT serta ahli-ahli PSSCM IPT seluruh Negara, Pusat Latihan/Kelas Latihan Silat Cekak Lembah Klang termasuk YDP-YDP dan ahli-ahli PSSCM dari Cawangan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Seberang Prai. Pulau Pinang dan Perak. Program ini dimulai dengan pembarisan kehormat dan persembahan Silat Seni.

Aturcara dimulakan dengan persembahan Kaedah ABCD dan Senaman Cekak. Selepas bacaan doa, Ucaptama disampaikan oleh YDP PSSCM UIAM Gombak, Encik Nur Aiman bin Sukindar. Kemudian ucapan dari Ketua Penerangan PSSCM Encik Rosman bin Mat Deli dan seterusnya Ucapan Perasmian oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah. Diantara kandungan ucapan YM Guru Utama, beliau menyeru semua ahli-ahli PSSCM bersatu bagi memartabatkan Silat Cekak. Justeru itu, semua peserta telah melafaz ikrar “Bersama, Bersatu”.

Disusuli dengan persembahan Demo Khas dari Kelas-kelas Latihan Silat Cekak Lembah Klang yang diadakan serentak. Secara tidak langsung menaikkan semangat mereka yang hadir termasuklah ahli-ahli veteran PSSCM seperti, Pak Su Man, Pak Long Mat, Abang John, Aziz Penang, Abang Harun Penang dan Karim Said juga turut serta mengambil bahagian dalam persembahan Adegan Senaman Lading dan Sepasang Lading yang di ketuai oleh Pengerusi Persilatan PSSCM, Encik Safaran bin Hj Ahmad.

Dalam sesi Latihan Bersama Guru, YM Guru Utama telah turut serta berlatih bersama ahli-ahli PSSCM. Dengan secara tidak langsung hubungan antara guru dan murid lebih bermakna. YM Guru Utama juga telah membuat persembahan Dua Tongkat, Tongkat Panjang, Buah Jatuh dan Sepasang Lading.

Sebelum program berakhir YM Guru Utama telah mengajak ahli-ahli PSSCM agar merenung kembali pengorbanan Pengasas Agung PSSCM, Al-marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam sebagai iktibar panduan hidup.

Kesemua ahli-ahli PSSCM yang hadir berasa amat beruntung dan berbangga kerana dapat turut serta. Ada di antara mereka mencadangkan kepada Jabatan Penerangan supaya program ini diadakan di setiap zon.

152 Hadiri Kursus Pentadbiran IPT Kebangsaan

21 Februari 2010, Gombak - PSSCM UIAM dengan kerjasama Sekretriat IPT Lembah Kelang PSSCM telah menganjurkan Kursus Pentadbiran IPT Kebangsaan 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dari 19hb-21hb Februari 2010

Antara objektif kursus ini ialah untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pengurusan, mewujudkan interaksi di antara mahasiswa-mahasiswa dari IPT seluruh Negara, dan menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan masyarakat Modal Insan yang berteraskan budaya Bangsa Melayu. Program ini telah disertai oleh 152 peserta daripada 36 IPTA dan IPTS dari seluruh Negara. Para peserta adalah di kalangan Ahli Jawatankuasa Tertinggi di setiap IPT.

Kursus tiga hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UIAM iaitu Professor Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmod. Pengisian ceramah juga telah dimuatkan dalam kursus ini yang telah disampaikan oleh Tn Hj Ghazali Abd Rahman (LPT PSSCM) yang bertajuk ”Silat Cekak Teras Pemantapan Rohani Dan Akidah”. Antara pengisian lain ialah mereka telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran pentadbiran iaitu mengenai mesyuarat agong tahunan yang telah disampaikan oleh En Khaharuddin Abd Rahman (Penolong Setiausaha II PSSCM), Kewangan (En Anuar Aziz, Bendahari Agong PSSCM), Perlembagaan Persatuan(En Zaini Marzuki, Jabatan Perundangan PSSCM) dan prosedur dan tatacara pelaksanaan program (En Shahrem, Penolong Ketua Penerangan PSSCM).