10 Januari 2010, Bangi - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PSSCM UKM) telah berjaya menganjurkan Seminar Budaya Seni Silat Membangunkan Modal Insan Cemerlang bertempat di Dewan DG43.101, Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM di sini.
Seminar sehari yang bertemakan 'Agama Dijunjung Budaya Dipertahankan' ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Kadderi Md Desa, Pengarah Perkembangan Pelajar UKM mewakili Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamad Bin Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, UKM.
Lebih 300 peserta dari institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Kelang menyertai seminar ini yang turut dihadiri oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah, AJK Pusat PSSCM dan cawangan-cawangan.
Di antara objektif program seminar ini adalah memberi kesedaran kepada peserta tentang pentingnya mempelajari dan memperjuangkan seni silat yang merupakan warisan bangsa Melayu. Di samping itu juga melalui seminar ini dapat membuka minda peserta bahawa aktiviti silat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan perpaduan masyarakat.
Seramai tiga orang pembentang kertas kerja membentangkan kertas kerja masing-masing dalam seminar ini yang didahului dengan Dr. Roziah Abdullah dari Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kertas kerja bertajuk 'Peranan Wanita Dalam Dunia Persilatan' diikuti oleh Prof. Madya Dr. Haji Abdul Majid Ismail, Pensyarah USM Pulau Pinang yang juga Yang DiPertua PSSCM Pulau Pinang dengan kertas kerja bertajuk 'Seni Silat Melahirkan Pemikir Dan Pemimpin Yang Cemerlang'.
Kertas kerja ketiga bertajuk 'Pemantapan Rohani Dan Jasmani Dalam Bidang Persilatan Dari Kaca Mata Islam' yang dibentangkan oleh Tuan Haji Ghazali Bin Ab Rahman, Pensyarah UUM merangkap Ahli Lembaga Pelajaran & Tatatertib PSSCM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan